BENARKAN JARI INI MENAIP…

15 05 2006

 Kudedikasikan tulisan ini untuk Pak Cik Mohamad, ayahanda kepada seorang sahabat, Mohd Asllah…

Aku sudah lupa tarikhnya.
Yang masih kuingat ialah ketika itu result SPM sudah diumumkan.
Menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Aku dan teman-teman sekelas sepakat untuk ke rumah Asllah di Temalir, Kuala Krai
untuk menziarahi rumahnya dan menghabiskan masa bersama,
kerana kelak kami akan membawa haluan masing-masing.

Sebagaimana biasa, projek kami tidak pernah ada perancangan yang rapi.
Sangat jarang bertulis. Cuma persetujuan mulut sahaja.

Seingat aku, itulah projek yang paling ramai penyertaannya.
Kecuali teman dari luar Kelantan dan beberapa nama rutin, semua pelajar SPM 2003 keluar bersama.
Sangat nadir.

       Sebagaimana yang telah kusebut, kami tidak punyai perancangan yang rapi,
dan kesilapan yang paling besar kami buat ialah kami langsung tidak menelefon Asllah terlebih dahulu.
Semuanya saling berharap. Aku rasa sangat takut. Jumlah kami hampir 20 orang.
Bagaimanakah sambutan keluarga Asllah?
Juga, aku rasa bersalah. Trip ini adalah ideaku. Aku hanya pernah bercakap dengan Asllah,
tanpa memberitahunya tarikh yang tepat.

Kami sampai tengah hari di rumahnya. Asllah dan bapanya ketika itu masih di kebun getah.
Aku semakin berdebar. Nasib baik abangnya ada melayan kami.

Seketika kemudian, Asllah dan bapanya pulang. Tiada perasaan aneh yang ada pada wajahnya.
Hanya tersenyum gembira; walaupun kami yang se’batalion’ ini menyerang rumahnya.

Perancangan kami pada hari itu sebenarnya ialah ingin makan tengah hari sambil BBQ di tebing air
terjun berhampiran.Namun ayahnya berkeras meminta kami makan tengah hari di rumahnya.
Pak cik Mohamad memang seorang yang sangat baik.

Dia hanyalah seorang peneroka tanah rancangan.
Berasal dari Pulai Chondong dan berhijrah ke dalam hutan untuk mencari hidup yang lebih baik untuk keluarga.
Katanya, di Pulai Chondong dia tidak punyai apa-apa;
tapi di situ, di Temalir, dia ada sedikit tanah untuk warisan anak-anaknya.
Alangkah mulianya seorang bapa!

Aku tersenyum.
Teringat pada kata-kata, ” Begitulah orang kampung di Kelantan. Tiada duit, tapi tanah banyak!”

Pak Cik Mohamad orangnya sangat sederhana. Sangat berlapis apabila bercakap.
Kharismanya tetap tinggi walaupun hanya tinggal di tanah rancangan.
Anak-anaknya juga semua berjaya dalam pelajaran, membuktikan kualitinya sebagai seorang bapa.
Sangat tegas, dan berani.
Dia masih tetap pandangan politiknya walaupun penduduk setempat kebanyakannya berlainan pendapat.

Masih kuingat, ketika kami sedang BBQ di tebing air terjun, dia datang bertemu muka dengan kami.
Berbaju melayu putih, berkopiah dan berkain pelikat. Padaku, seorang budak kampung, 
dia langsung tidak kelihatan janggal. Malah, semakin hebat.
Tidak ramai yang sanggup meredah hutan dengan berpakaian begitu.

Aku berbual panjang dengannya di situ. Aku suka pandangannya pada banyak perkara.
Walaupun jauh di pedalaman, pandangannya luas, visinya  jelas.
Aku tidak tahu berapa umurnya. Namun, wajahnya menerangkan pengalaman dan
kekuatannya menempuh hidup.
Benarkan aku sekali lagi memuji kehebatan golongan bapa!

Dan, yang sangat menyentuh hatiku ialah jemputannya agar kami sekali lagi melawatnya
pada musim buah kelak. Ketika itu, bulan April, kalau aku tidak silap, dan masih ada
beberapa bulan sebelum musim buah, pada Julai atau Ogos, katanya.
Dan dia berkata pada semua orang,” Yang ni (merujuk pada aku) mesti datang!”
Mungkin kerana aku yang paling bising pada hari tersebut, (seperti biasa!).

Namun, hakikatnya tidak demikian. 21 Jun 2004 aku berangkat datang ke sini…

Aku masih teringat akan kebaikannya. Kurasakan pertemuan itu masih baru.
Tidak kusangka itulah pertemuan tunggal aku dengannya. Yang pertama dan terakhir.

Perjalanannya di dunia ini sudah tamat, pada Disember lepas.
Aku langsung tidak mengetahuinya. Begitu juga dengan sahabat lain yang sudah keluar
dari MTAQ. Hatta Khairul yang hanya di Nilam Puri. Dan aku diberitahu oleh sahabatku Khairul,
hanya petang tadi.
Asllah kini sukar dicari. Berseorangan di UiTM, tanpa seorangpun teman sesekolah.

Dan, bagi kami teman sekelas, hubungan kami sudah semakin jauh.
Asllah bukan nama tunggal yang sukar dikesan. Ada lagi.
Ironi, bagi mereka yang ditakdirkan belajar bersama pula muncul klik dan
persefahaman yang telah lama kami bina semakin luput…


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: