Catatan tulus dari Toulouse

28 01 2007

Seorang sahabat dari bumi Anbia’ meminta aku menulis sedikit catatan tentang pengalaman hidup aku di bumi Airbus untuk dimuatkan dalam majalah terbitannya untuk tatapan pelajar Malaysia di sana.

Tarikh akhir yang dimintanya adalah akhir Disember, namun aku hanya mampu menyiapkannya minggu kedua Januari.

Agak sukar untuk menulis, terutama dalam bahasa Melayu. Harap coretanku is understandable! dapat membantu!

Ingin membacanya?

 “Walaupun suasana kita tidak soleh,tapi pastikan kita bina suasana yang soleh dalam hati kita; kerana suasana boleh mengubah diri kita tapi tidakkan mampu merampas keimanan kita.
Insya-Allah.”
 22 Jun 2004, jam 0630:  Saya menjejakkan kaki di l’Aéroport Charles de Gaulle, Paris. Untuk memulakan lembaran baru dalam hidup saya sebagai pelajar universiti selepas hampir tujuh tahun di Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong, Kelantan. Di Perancis?Ya, Maahad Tahfiz al Quran ke Negara asal Louis XIV dan Napoléon Bonaparte. Tempat berlakunya kisah Maximilien Robespierre dan Revolusi Perancis yang sejarahnya ada dalam buku sejarah SPM.  Walaupun Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong dan Institut Universitaire de Colmar terlalu jauh bezanya… 

Tahun pertama (Jun 2004 hingga Ogos 2005), saya dan kawan-kawan senasib daripada PEKOM[1] mengikuti program persediaan di Colmar, Alsace[2]. Jika ditanya apakah cabaran paling besar pada tahun pertama di sini, mungkin jawapannya ialah untuk berkomunikasi. Untuk pengetahuan anda, kami tidak pernah belajar bahasa Perancis sebelum terbang ke sini seperti teman-teman seangkatan tajaan JPA atau Mara. Kami hanya dibekalkan semasa sesi taklimat di KLCC dengan sekeping kertas yang tercatat beberapa perkataan asas ‘untuk hidup’ seperti “Bonjour” (Selamat pagi), “Merci beaucoup” (ditulis “merci buku”), dan sudah tentu ayat ajaib, “Vous parlez anglais?” (Anda berbahasa Inggeris?”) Berbeza dengan kita di Malaysia yang mengagungkan bahasa penjajah, di Perancis, bahasa kebangsaan menjadi keutamaan. Semuanya dalam bahasa Perancis, termasuklah rancangan tv yang diimport dari Hollywood.  Agak pelik melihat Spiderman dan Shrek berbahasa Perancis!Sangat sukar untuk hidup di Perancis tanpa menguasai bahasa Perancis. Walaupun secara umum orang Perancis mula menerima hakikat kepentingan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris mereka masih agak mengecewakan.Tidak mudah untuk bertanya arah dan memesan makanan di restoran. Seolah-olah kami berada di planet berlainan daripada orang di sekeliling. Ketika itu, tangan kami lebih petah berbicara berbanding lidah.  Terkenang pada kesukaran manusia bisu untuk berkomunikasi. Segala puji bagi Tuhan yang menjadikan kita insan sempurna!Syukur Alhamdulillah, salah seorang daripada kami pernah belajar bahasa Perancis. Kebolehannya banyak membantu. Di restoran contohnya, dialah yang memilih menu, menu untuk semua, kerana selepas dia memesan makanan, pesanan kami ialah  “la même chose(sama)”Pernah sekali seorang teman mengepakkan tangan untuk membeli ayam.Nasib baik untuk membeli keperluan selain daripada daging halal kami boleh ke pasar raya! 

Bercakap tentang  pelajaran, ketika tempoh persediaan kami belajar bahasa Perancis serta subjek-subjek lain seperti ekonomi, akaun, elektrik, kimia dan lain-lain sebagai persediaan untuk belajar dalam universiti Perancis pada tahun berikutnya. Berbeza dengan program persediaan untuk pelajar tajaan JPA selama dua tahun, program PEKOM lebih pendek (14 bulan). Lebih pendek ertinya lebih padat, lebih intensif. Terpaksa menghadiri kelas walaupun pada musim panas ketika orang lain bercuti. Kadang-kadang kami terpaksa menghadiri kelas sehingga lebih 40 jam seminggu, termasuk hari sabtu. Eh oui, on est là pour travailler!Mungkin kerana marathon inilah hubungan antara kami 10 orang dan tenaga pengajar kami sangat rapat, kami bagaikan  sebuah keluarga. Satu perkara menarik yang berlaku pada tempoh persediaan ini yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang kesungguhan kami untuk pulang ke Malaysia. Sepatutnya kami mengikuti program persediaan selama 14 bulan, daripada musim panas 2004 hingga musim panas tahun berikutnya, dan kami tidak punya cuti panjang untuk balik ke Malaysia kerana pengajian kami di peringkat universiti akan bermula sejenak selepas tempoh tersebut.Kami sanggup korbankan cuti-cuti yang ada untuk membolehkan kami mendapat 30 hari untuk balik kampung. Dengan kata lain, cuti dua minggu kami kurangkan seminggu dan cuti lima hari kami diskaunkan kepada dua hari. Semuanya kerana rindu pada keluarga tercinta!                Tempoh ini sangat menarik bagi saya kerana semua 10 orang pelajar PEKOM1 masih lagi bersama. Kerana selepas  tempoh persediaan juga biasanya disebut sebagai tempoh Honeymoon, kami semua akan berpecah membawa diri ke bandar pilihan masing-masing[3].Terlalu banyak cerita yang boleh dikongsi tentang pengalaman 14 bulan saya di Colmar. Jika saya bercerita panjang, coretan ini bukan lagi catatan, tapi novel biografi!  

September 2005, saya mulakan hidup di alam universiti di tempat baru, Toulouse[4] (baca Tulus). Keseorangan, menjadi wakil tunggal Petronas. Bandar baru ini terlalu banyak bezanya dengan Colmar. Lebih kurang 1000 km memisahkan Toulouse dan Colmar. 12 jam perjalanan dengan keretapi. Penduduknya 16  kali lebih  ramai daripada Colmar.Agak sukar untuk menjadi pelajar Malaysia tunggal di sebuah IPT asing. Tanpa senior untuk menjadi rujukan, anda perlu pandai menyusun langkah mencari inisiatif. Tambahan, hanya kami pelajar Petronas yang mendalami bidang non-teknikal, manakala pelajar lain (JPA,MARA, Telekom…) mengikuti kursus teknikal. Nasib badan… 

Untuk makluman anda, penduduk di selatan Perancis punya bahasa yang agak berbeza dengan bahasa Perancis standard, terkenal dengan accent du midi. Jika di Malaysia, analogi situasi saya adalah bagaikan seorang pelajar daripada Kuala Lumpur yang datang belajar di Kelantan.Tidak mudah untuk memahami subjek-subjek seperti ekonomi dan law dalam bahasa asing yang baru setahun anda belajar, apatah lagi jika dialeknya berbeza! Lebih parah lagi, apabila profesor anda sangat pekat dialeknya. Ketika dua bulan pertama, nota saya dan nota teman sekelas langsung tidak sama!Waktu belajar di sini boleh tahan padatnya dengan 30 kredit bagi setiap semester. Ditambah pula dengan modul tambahan, waktu belajar mencecah 35 jam seminggu. Malah, ada harinya kelas saya bermula 8 pagi sehingga 8 malam.  Selain itu, wujud sistem yang dipanggil contrôle continue (penilaian berterusan)  setiap minggu ada peperiksaan dan anda perlu sentiasa bersedia. Rasanya menarik jika diamalkan di Malaysia! Tentu ada antara anda yang pernah terbaca mengenai demonstrasi pelajar di Perancis pada awal tahun 2006. Berbeza dengan negara kita, di Perancis semua orang punya hak  kebebasan untuk bersuara, juga untuk berdemonstrasi dan mogok. Kerana tidak bersetuju dengan projek undang-undang pekerja baru daripada kerajaan, para pelajar dan aktivis persatuan sekerja memberontak, memenuhi jalan raya menuntut kerajaan menarik balik projek tersebut. Tidak perlu saya bercakap panjang tentang demonstrasi tersebut, cukuplah sekadar saya berkata bahawa universiti saya juga tidak terlepas daripada demonstrasi tersebut. Université Paul Sabatier ketika itu ditutup selama 5 minggu, sehingga kerajaan Dominique de Villepin mengalah.Tidak dapat saya lupakan bahawa kami terpaksa meneruskan saki baki semester secara ‘sangat intensif’ untuk menghabiskan sukatan yang tertinggal. Bukan semudah yang disangka, kerana pada akhir semester, hanya 100 pelajar daripada jabatan saya dapat meneruskan pengajian ke tahun seterusnya daripada total 180 orang! 

Satu lagi perkara yang ingin saya utarakan di sini ialah tentang kewujudan komuniti Malaysia. Kalau di Colmar keluarga Malaysia hanya terhad pada pelajar yang mengikuti program persediaan, di Toulouse komuniti ini lebih besar. Selain daripada kami pelajar, ada juga beberapa keluarga Malaysia yang bermastautin di sini. Saya beruntung kerana dipertemukan dengan komuniti ini. Sangat menakjubkan semangat persaudaraan antara rakyat Malaysia di bumi asing- kami adalah keluarga, walaupun tanpa pertalian darah. 

Mungkin ada yang ingin bertanya tentang bagaimana hidup saya sebagai seorang Muslim di Perancis, negara sekular yang terkenal dengan isu pengharaman tudung.Jangan lupa bahawa Islam adalah agama kedua di Perancis selepas Katholik dengan kira-kira 6 juta Muslim (angka rasmi 2003) dan individu paling disayangi di Perancis 2006 juga adalah Muslim (Zinédine Zidane).Komuniti Muslim tidak asing di sini. Majoritinya terdiri daripada imigran dari negara-negara Afrika Utara dan Turki. Untuk mencari masjid dan makanan halal bukanlah masalah di sini. Anda tidak perlu takut untuk mengaku Muslim. Setakat ini saya belum pernah menjadi mangsa diskriminasi agama. Persoalannya ialah adakah kesungguhan anda untuk mengamalkan agama Islam. Ketika di Colmar, kami berjemaah dalam bilik kuliah dan pada petang hari jumaat kelas kami dilewatkan sejam untuk memberi ruang kami ke masjid.                Saya secara peribadi amat kagum dengan Muslim di sini. Walaupun tanpa bantuan kerajaan, masjid ada di mana-mana. Kebanyakan masjid dibina dengan sumbangan orang ramai, dan dibina secara gotong royong. Di Colmar, masjid yang selalu saya kunjungi adalah bekas kilang yang dibeli oleh komuniti Muslim yang masih dalam pembinaan. Di Toulouse, masjid besar masih dalam pembinaan, dan masjid sementara didirikan di kawasan parking sebuah hypermarket. Satu lagi masjid, masjid el Nour didirikan di kawasan perumahan. Pada hari jumaat, jemaah melimpah keluar. Sangat menginsafkan apabila bersolat di kawasan parking ataupun dibawah pokok ketika suhu tidak jauh daripada 0°. Apa yang best belajar di Perancis? Banyak kali saya diaju soalan ini. Perancis tidak terhad pada baguette dan croissance semata-mata. Jangan lupa bahasa Perancis pernah menjadi bahasa utama dunia sehingga abad ke-17. Perancis juga menjadi salah satu negara paksi dalam Kesatuan Eropah bersama Jerman. Di sini jugalah bermulanya revolusi di Eropah. Gastronomi Perancis terkenal serata dunia, dan di sinilah asalnya beberapa cerita dongeng yang selalu ketika dengar seperti the Beauty and the Beast dan The Sleeping Beauty. Toulouse? – Toulouse terkenal dengan industri penerbangan, di sinilah bandar kelahiran pesawat supersonik Concorde dan pesawat superjumbo Airbus A380. 

Bagaimana pula dengan masalah?Tipulah kalau saya kata saya tidak pernah menghadapi masalah. Semangat dan motivasi sentiasa turun naik.  Berkelana di tempat orang tidak semudah hidup di bumi sendiri. Berkelana sinonim dengan berdikari. Makan minum, urusan rasmi, dan lain-lain rutin harian perlu dilakukan sendiri. Kesempitan duit, terutama pada hujung trimester bukan perkara nadir. Menjadi pelajar tajaan Petronas, tidak bermakna elaun anda lebih tinggi daripada yang lain!Saya juga tidak dapat lari daripada mengalami culture shock. Seperti saya katakan di atas, Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong dan Institut Universitaire de Colmar terlalu jauh bezanya. Perancis juga bukan Malaysia. Colmar tidak sama dengan Kota Bharu.Agak sukar bagi saya untuk menerima hakikat tersebut. Takut juga memikirkan tentang alQuran dan tugas sebagai hamba. Alhamdulillah, saya amat bertuah kerana punya sokongan padu daripada keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat. Tidak mudah untuk menjadi yang lain dari yang lain.Sukalah saya di sini untuk berkongsi satu nasihat daripada seorang sahabat, ketika saya merungut tentang kehidupan saya yang tidak keruan pada satu ketika,“Walaupun suasana kita tidak soleh,tapi pastikan kita bina suasana yang soleh dalam hati kita; kerana suasana boleh mengubah diri kita tapi tidakkan mampu merampas keimanan kita. Insya-Allah.” Rasanya setakat ini sahajalah coretan saya untuk kali ini. Terima kasih kepada yang sudi membaca tulisan pengalaman saya yang tidak seberapa ini. Juga tidak lupa terima kasih saya pada Mohd Nurul Hisham Mohamed yang memberikan saya peluang untuk menulis. 

Maaf sebab lambat. Mohd Nurhakimin Baruddin 2ème  Année  Département Gestion des Entreprises et des Administration (GEA)Institut Universitaire de Technologie “A” Toulouse,Université Paul Sabatier (Toulouse 3)mohdnurhakimin@yahoo.com+33 6 12 93 32 37  



[1] Program PEKOM : singkatan daripada PETRONAS dan TELEKOM : Kumpulan kami terdiri daripada 5 pelajar tajaan Petronas dan 5 daripada Telekom

[2] Colmar, bandar dengan kepadatan 70 000 penduduk, terletak kira-kira 560 km di timur Paris. Termasuk dalam kawasan Alsace-Lorraine yang sentiasa menjadi rebutan antara Jerman dan Perancis. Colmar terletak juga tidak jauh dari Switzerland. Tahukah anda Colmar juga ada di Malaysia?- Colmar Tropicale di Bukit Tinggi Resort.

[3] 10 pelajar PEKOM : Petronas: 2 orang di Lille dan Le Havre, dan seorang di Toulouse (penulis). Telekom: 2 di Lyon, dan seorang di Blois, Chateauroux, dan Grenoble.

[4] Capital untuk région Midi Pyrénées, bandar keempat Perancis berdasarkan jumlah penduduk. Terletak kira-kira 710 km di selatan Paris, dan 400 km dari Barcelona. Di sinilah terletaknya ibu pejabat pengeluar kapal terbang Eropah, Airbus.


Tindakan

Information

4 responses

9 12 2012
ukasya shakena

Terima kasih sebab sudi berkongsi pengalaman belajar di France. Sebenarnya dalam cadangan saya lepas tamat Undergrad di UKM saya teringin nak further masters study in economic di Toulouse School of Economic. Tapi tu lah halangan pertama adalah bahasa. Saya tak ada langsung pengalaman belajar atau berbahasa france

8 08 2013
cairns diving

This post presents clear idea in favor of the new users of blogging, that
actually how to do blogging.

8 08 2013
cairns black marlin

What’s up i am kavin, its my first time to commenting anyplace, when i read this post i thought i could also make comment due to this good paragraph.

10 08 2013
overnight snorkelling cairns

What’s up, its nice paragraph about media print, we all know media is a great source of data.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: