Iran?

27 03 2007

Hari ini Iran menjadi tumpuan dunia. Cita-cita nuklear kerajaan Republik Islam Iran mencetuskan ‘kebimbangan’ dunia. Kebimbangan dunia?

Mungkin lebih tepat jika disebut kebimbangan Israel dan tali barutnya.

         Selepas Iraq diganyang, rancangan penyusunan semula timur tengah beralih kepada Iran. Ya, terlalu sedikit negara yang lantang menentang Israel. Kecuali beberapa negara. Iraq malangnya sudah keluar daripada senarai tersebut. 

Jika diperhatikan sejarah Iran, kita akan mempertikaikan kenapa Iran harus dilayan sedemikian. Ketika zaman pemerintahan Shah Iran, Iran tidak pernah dianggap sebagai negara pengganas, walaupun hak asasi manusia di Iran sangat menyayat hati. Shah Iran tidak pernah dianggap zalim, malah menjadi sahabat baik Presiden Richard Nixon, Presiden Georges Pompidou, dan Ratu Elizabeth. Contoh paling jelas ialah ketika sambutan 2500 tahun monarki Iran di makam Cyrus the Great, Shiraz: pemimpin dunia berduyun-duyun datang meraikan kekayaan dan kemewahan Shah Mohamed Reza, walaupun mereka maklum ramai rakyat negara Parsi itu sedang kelaparan.Presiden Nixon sendiri merayakan sambutan tahun baru pertamanya sebagai Presiden Amerika Syarikat di Teheran, semeja dengan Shah Iran.Ketika ditanya tentang polisi AS di Iran, Nixon menjelaskan hubungan AS-Iran hanya terhad pada hubungan diplomatik antara negara, dan AS tidak masuk campur tentang hal ehwal dalam negeri.Polisi yang diteruskan sehingga revolusi pelajar Iran, dan menemui noktah apabila Ayatollah Khomeini menjadi pemimpin tertinggi Iran.Iran era Khomeini dilabel negara pengganas. Sejarah nuklear Iran juga bukan perkara lama. Perancis yang kini menjadi leader dunia dalam sektor nuklear sebenarnya pernah menjalin hubungan sangat rapat dengan Iran. Iran, melalui kerajaan Shah Iran membiayai sebahagian besar daripada projek nuklear bersama Perancis-Iran. Namun, projek ini menjadi projek solo Perancis (masih dengan pembiayaan Iran) dengan kejatuhan Shah.Sehingga hari ini, isu masih dalam perbincangan walaupun sudah terang benderang bagi kita bahawa kerajaan Islam Iran adalah legitim, dan mereka sepatutnya berhak berkongsi hasil projek nuklear ‘bersama’ tersebut.80 peratus daripada tenaga di Perancis hari ini dijana daripada nuklear, dan Perancis terkenal sebagai negara peneraju teknologi nuklear, terima kasih pada pembiayaan Iran.Tetapi, apabila Iran ingin menuntut kembali ‘hak’nya, banyak pula dolak dalik yang timbul.Bukankan tujuan bantuan dana Shah dalam projek tersebut adalah untuk rakyat Iran? 

Memikirkan perkara ini dan persoalan nuklear Iran sangat memeningkan kepala. Jika kuasa besar boleh memiliki tenaga nuklear, kenapa tidak Iran?Jika benar Iran negara pengganas, apa buktinya?Belum ada peristiwa seperti 911 yang ditaja Iran. (Taliban juga tidak pernah bersalah, tetapi tetap menjadi kambing hitam yang disembelih AS!) Majlis Keselamatan PBB masih berbelah bahagi dalam keputusan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran. AS dan rakan-rakan inginkan Iran dihukum. Perancis (mungkin kerana perkara di atas), Russia (penaja teknologi nuklear Iran), dan China berkata tidak.Perlu diingat, Iran dengan 70 juta penduduknya punya potensi ekonomi yang sangat besar. Ditambah pula dengan simpanan minyaknya, Iran adalah itik bertelur emas bagi sesetengah kuasa besar.Shah Iran pernah mencetuskan huru hara dunia, dan menyebabkan Amerika tunduk padanya dengan menggunakan emas hitam ini sebagai senjata.         Dunia mungkin sudah serik dengan kenaikan harga minyak dunia ketika Iraq diserang empat tahun lalu. 

Berdasarkan banyak faktor, Amerika masih perlu berfikir panjang sebelum menyerang Iran. Namun, ketika di Perancis, bukan sekali ana mendengar laporan dan dokumentari mengenai Iran. Kutukan terhadap kejumudan sistem Mullah sudah menjadi perkara lumrah, tapi ada satu perkara yang sangat mengejutkan ana: 

Ada antara rakyat Iran yang menanti Amerika ‘membebaskan’ mereka daripada pakaian menutup aurat, pergaulan terbatas antara lelaki dan perempuan, serta kewajipan agama yang lain.

Seperti Amerika membebaskan Iraq! 

Rakyat Iran digambarkan sebagai sangat tidak berpuas hati dengan sistem kerajaan Islam yang ada. Bukti?Tidak ramai muda-mudi yang bersolat Jumaat. Disiarkan rakaman mereka memenuhi pawagam dan pusat membeli belah.Juga, ramai yang bertudung cukupkan syarat, dan sentiasa mencari peluang untuk tidak bertudung.

Seterusnya cerita tentang pergaulan bebas dan kehidupan malam di Teheran… 

TERLALU sedih untuk dianggap benar. T

iada alasan lagi untuk menafikannya kerana bukti yang cukup lengkap. Belum ditambah dengan masalah pengangguran dan penagihan dadah yang sangat serius… 

Mengenangkan situasi ini, kita faham dan sedar bahawa ini adalah taktik klasik musuh Islam. Sukar untuk menjatuhkan kerajaan Islam dengan senapang dan kereta kebal, kerana orang Islam cintakan syahid.

Adalah lebih praktik bagi mereka yang membenci Islam menghancurkan mereka dari dalam; merosakkan akhlak muda-mudi yang kemudiannya akan menerajui negara. 

Formula asas yang sangat mudah, yang digunakan di mana-mana sahaja. Pelik, kerana ramai ilmuwan Islam yang maklum dengan formula ini sejak berzaman, tetapi kenapa ia masih berterusan? 

Tepuk dada, tanya iman: mencari, mencari dan mencari jawapan… 


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: