AKU SALAFI, ANAK MURIDKU BAGAIMANA?

29 05 2007

Tulisan ini aku dapat daripada seorang senior di MTAQ. Melalui email alumni_mtaq@yahoogroups.com. Menarik, kerana ditulis oleh orang
Malaysia yang pernah berada di negara orang putih.
Rasanya berguna jika dapat dikongsi, walaupun tulisan ini agak panjang… 

 
AKU SALAFI, ANAK MURIDKU BAGAIMANA?Oleh: Ust .Hasrizal Abd Jamil. REALITI YANG DILUPAKANYa, dalam keasyikan melayan pelbagai pandangan dan aliran, kita sering terlupa bahawa majoriti telah memilih untuk bertelanjang. Mereka menanggalkan agama dari diri kerana agama sungguh menyerabutkan. Pandangan ini saya kutip daripada pelbagai siri pertemuan, terutamanya apabila mengendalikan kursus wajib yang disediakan oleh pihak Universiti dan Kolej. Saya bertemu dengan ramai pelajar yang pelbagai dan nyata sekali di hari pertama kursus, kebanyakannya hadir dengan paksa rela.Ia berbeza dengan kuliah di masjid. Masjid hanya dihadiri oleh mereka yang berjiwa masjid. Maka kita bertemu dengan insan yang hampir sama corak fikir dan gelombang frekuensinya. Ia juga tidak sama dengan program terbuka yang iklan di papan kenyataan hanya dipedulikan oleh mereka yang peduli. Akan tetapi, ketika saya berprogram melalui Fitrah Perkasa, saya bertemu dengan manusia yang sungguh pelbagai. Saya tidak berhasrat untuk mengulas dalam skala yang terlalu besar, maka untuk kali ini saya hanya ingin mengajak pembaca menumpukan perhatian kepada kekeliruan yang menimpa golongan muda, khususnya pelajar sekolah, kolej dan universiti.Saya masih ingat, semasa di
Belfast, saya menghadapi masalah yang sama.
Soalan saya semasa itu mudah sahaja, AKU SALAFI, ANAK (MURID)KU BAGAIMANA?Bagaimanakah sepatutnya saya mengajar anak-anak murid yang pelbagai itu? Jika saya mengajar solat Fajar tanpa qunut, ia menghairankan anak murid saya yang beribu bapakan seorang Melayu yang tidak pernah meninggalkan qunut, bahkan menggantikan qunut yang tertinggal dengan sujud sahwi. Seandainya saya mengajar solat Fajar dengan qunut, ia membingungkan anak murid saya yang berketurunan
Pakistan dan Turki yang hairan mengapa mereka diajar qunut sedangkan ibu bapa mereka terus sujud selepas bangun dari rukuk di rakaat kedua.
Saya harus akur bahawa pelajar di sekolah saya terdiri daripada anak-anak yang datang dari lebih 25 negara. Pakistan, India, Bangladesh, Kashmir, Turki, Bosnia, Adzerbaijan, Mesir, Jordan, Syria, Arab Saudi, Maghribi, Algeria, Libya, Tunisia, Lubnan, Iraq, malah Iran dan tidak lupa Malaysia, serta yang sudah pastinya British, English, Irish, dan Scottish. Semua itu terhimpun dalam sebuah sekolah kecil bernama Belfast Islamic School yang berpengetuakan saya, seorang budak Melayu yang baru berusia 26 tahun ketika itu.Itu baru satu isu.KEBENARAN ISLAM VS KRISTIANMasalah seperti ini juga membabitkan isu kebenaran Islam dan Kristian. Saya tidak boleh secara mudah menyebut, “Agama yang benar adalah Islam, manakala Kristian itu batil dan sesat, tempatnya di neraka!”. Mengapa tidak? Sebabnya mudah. Hampir 20 orang daripada anak murid saya yang ibu mereka Kristian manakala bapa mereka Muslim. Dengan menggunakan peruntukan perkahwinan bersama ahli Kitab, jumlah penduduk di
Belfast yang mengahwini perempuan Kristian tempatan agak signifikan.
“Imam, saya rasa emak saya yang Kristian lebih baik akhlaknya berbanding ayah saya yang Muslim. Takkanlah mak saya masuk neraka”, kata salah seorang anak murid saya.Habis, apakah jawapan yang dapat saya berikan? Hakikatnya memang begitu.Saya pernah dihubungi oleh pihak polis yang meminta agar saya hadir ke sebuah funeral house. Saya dijemput dengan sebuah limosin hitam, bagi menghadiri upacara menyembahyangkan jenazah seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang meninggal dunia semasa tidur. Ibunya Kristian bermazhab Katolik dan ayahnya seorang Muslim Arab dari
Algeria.
Semasa tiba di majlis tersebut, saya bertemu dengan si ayah. Bertindik, rambut kerinting cantik berdandan. Si ayah bersalam acuh tidak acuh dengan saya. Tiada sepatah pun kalimah dari mulutnya, salam saya juga tidak berjawab. Saya dibawa bertemu dengan si ibu, wanita Irish dalam usia akhir 20-an. Wajahnya sugul sekali dan ketika melihat saya, dia datang sambil melemparkan senyuman yang dipaksa.“Terima kasih, Imam. Saya amat menghargai kedatangan Imam. Maafkan saya kerana meminta bantuan polis untuk mencari Imam sebab saya tidak tahu lokasi masjid di
Belfast”, katanya.
“Tak apa, puan. Malah saya amat berterima kasih di atas kesungguhan puan menghubungi kami. Apa yang terjadi puan? Bagaimana puteri puan meninggal dunia?” saya bertanya.“Tuan Imam, anak saya tuan Imam. Itulah satu-satunya anak kami. Kami amat sayangkan dia. Tetapi pagi Isnin baru-baru ini, kami bangun pagi dan dapati Mary sudah tidak bernyawa. Wajahnya biru dan tubuhnya sejuk membeku”, jawab wanita tersebut dengan tangisan air mata.“Inna Lillah wa Inna Ilayhi Rajioon. Takziah dari saya, semoga Allah memberi kekuatan kepada puan dan suami”, saya
cuba mententeramkannya.
“Maafkan suami saya Imam, dia memang begitu. Agak kurang peramah”, kata perempuan tersebut sambil merenung suaminya yang sedang menghembuskan asap rokok ke tingkap koridor.Saya dan rombongan masjid dibawa ke dewan. Kami meminta supaya di arah kiblat, tiada sebarang tanda salib atau patung. Semasa menjenguk ke keranda, berderai air mata saya melihat si anak kecil yang dihias cantik, dengan gaun putih dan rambut yang disikat kemas.“Allah telah menyelamatkan dirimu wahai anakku, Maryam. Pulanglah engkau ke syurga-Nya”, saya berbisik sendirian ke arah sekujur jenazah yang mati penuh misteri. Saya susunkan saf menjadi tiga. Seterusnya saya imamkan solat jenazah di pagi yang hening itu, sambil diperhatikan oleh puluhan anggota keluarga ibu si Mary. Ayahnya enggan bersolat bersama kami.Selesai mengerjakan solat, saya diminta berucap di hadapan orang ramai, sebagaimana adat yang diamalkan oleh penganut Kristian Katholik. SAYA BERTALQIN?“Tuan-tuan dan puan-puan, khususnya Puan Catriona sekeluarga. Sesungguhnya kematian ini adalah sesuatu yang pasti. Kita merancang pelbagai perkara yang entahkan sempat atau tidak kita melakukannya. Tetapi janganlah kita lupa merancang untuk hidup selepas mati.Ajaran agama kami iaitu Islam, menyatakan bahawa setiap bayi yang lahir, adalah suci dan bersih. Suci dan bersihnya mereka menyebabkan setiap mata yang melihat wajah kanak-kanak akan terhibur, kerana pada diri mereka tiada dosa. Di antara kanak-kanak yang suci itu adalah Mary Daly yang akan berpisah dengan kita buat selama-lamanya hari ini. Mary lahir dengan penuh kesucian, seperti kanak-kanak yang lain, seperti Mary ibu kepada Isa. Dan apabila dia pulang kepada Tuhan seawal usia ini, dia pulang dengan suci, dan pastinya Tuhan menyambut kepulangan Mary dengan penuh restu.Walaupun sedih, namun bergembiralah Puan Catriona dan suami, serta sekalian yang mengasihinya kerana Mary pulang ke syurga. Tempat yang selayaknya untuk insan-insan yang suci sepertinya. Semoga Allah menerima Mary dengan sebaiknya, dan memberikan kekuatan kepada ibu dan ayahnya, Amen”, saya mengakhiri ucapan pagi itu dengan sekalung doa.Entahlah, apakah perbuatan saya itu menjadi talqin yang dibid’ahkan oleh sesetengah orang? Namun ia adalah peluang dakwah yang amat besar kerana hanya dengan Islam sahaja, kematian Mary boleh dilihat positif, sedangkan ramai yang hadir gusar kerana Mary belum disucikan daripada original sin sebab belum sempat dibaptiskan paderi.PENTINGKAH ILMU PEDAGOGI?Pengalaman di atas sungguh unik, namun saya tetap melihatkan sebagai suatu cabaran yang mengelirukan, apabila ia dibawa ke institusi pendidikan. Di Belfast Islamic School, saya harus serius memikirkan kaedah pendidikan yang tersendiri lantaran keadaan anak-anak murid saya yang sungguh unik lagi tersendiri.Pada masa itu ilmu dan pengalaman saya amat cetek. Saya terpanggil untuk berusaha meningkatkan diri dengan memohon menyertai program Master di bidang Sosiologi Agama di The Queen’s

University of
Belfast. Tetapi semasa hari pendaftaran saya membatalkan hasrat itu kerana tidak mempunyai bekalan wang yang mencukupi.Pada tahun yang berikutnya saya telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di bidang Pendidikan (Curriculum Studies) bersama The Open University,
UK.
Tujuan saya memilih bidang ini adalah kerana cabaran saya di Belfast Islamic School. Saya harus serius membangunkan kurikulum yang tepat bagi sekolah itu bahkan sekolah-sekolah lain di UK dan
Ireland.
Tidak mungkin generasi anak-anak ini dididik dengan sistem pendidikan yang dilalui oleh ibu bapa mereka. Anak-anak ini menerima pendedahan terhadap Islam dalam bentuk yang berbeza. Soal mazhab, perkahwinan campur dan banyak lagi isu, harus ditangani dengan teliti.Saya tidak boleh mengambil pendekatan bebal. Ahh, manhaj aku adalah yang paling tepat dengan al-Quran dan al-Sunnah. Maka dunia harus berputar mengikut putaranku. Soal mereka ikut atau tidak, itu tidak penting. Yang mengikut tandanya dapat hidayah. Manakala yang menolak, terserahlah nasib mereka untuk ditentukan Allah! Wah, mampukah saya berkata demikian? Jika anak orang lain mungkin sedap mulut kita menyebutnya. Tetapi apabila terkena anak sendiri, mahu dibiarkan sahajakah dia terhumban ke lembah yang terpesong dari jalan ke syurga itu? Guru-guru yang mengajar anak murid tanpa mengambil kira kesan pengajarannya, adalah sungguh tidak mempedulikan Sunnah. Kita mengajar untuk express atau impress? Kita berceramah untuk memandaikan orang atau untuk tunjuk pandai di hadapan orang?Kerana itu, saya tenggelamkan diri saya dalam himpunan buku pedagogi. Alhamdulillah, rakan-rakan sekuliah amat pelbagai. Ada cikgu sekolah di Jepun, ada guru penjara di
Hawaii, dan ramai lagi rakan forum saya dalam subjek semester pertama kami.
 The Open University of UK mempunyai Fakulti Pendidikan yang terbesar di Eropah, dengan jumlah pelajar yang mencecah 16 ribu orang semuanya.Malang sekali, di tahun pertama pengajian, saya ditimpa penyakit dan terlantar selama berbulan-bulan di rumah. Saya tidak boleh keluar rumah kerana kulit saya menjadi foto sensitif. Berbahang apabila terkena matahari. Saya mengundurkan diri dari pengajian di tahun itu.Manakala di tahun berikutnya, saya menyambung kembali pengajian, tetapi malang sekali lagi, kami terpaksa pulang ke
Malaysia kerana isteri saya dipanggil pulang berkhidmat di tanah air.
Walaupun MEd. saya terbengkalai, namun saya masih sensitif dengan metodologi pengajaran. Pada saya, ilmu mengajar adalah sama pentingnya dengan ilmu yang hendak diajar.DAKWAH ANTARA MASJID DAN KLCCKerana itu, pada bulan Mac 2005, semasa pulang dari pejabat, saya telah singgah di Suria KLCC selama setengah jam, semata-mata untuk bermuhasabah. Saya pulang selepas lebih 10 tahun saya tenang beribadah menurut pendirian saya, ketika di luar negara. Tetapi apabila saya pulang ke
Malaysia, saya tercabar oleh pelbagai fenomena. Usahkan hendak mempertahankan al-Fatihah tanpa Basmalah yang jahriah, atau Solat Fajar berqunut atau tidak, nak mengajak kepada kewajipan solat pun saya rasa kaget, ketika merenung orang ramai dari tingkat tiga Suria KLCC petang itu.
Berapakah jarak manusia di situ dari Kuliah Maghrib kita di masjid. Usahlah masjid yang jauh-jauh. Cukup sekadar Surau KLCC di tingkat 4 atau Masjid al-Syakirin itu, apakah relevan dakwah dan pendekatan kita selama ini dengan manusia yang berpusu-pusu ke kiri dan kanan Suria KLCC berkenaan? Saya memikirkannya dengan serius, dan fikiran yang tercabar.Saya berasa keliru di antara gembira dan kecewa. Saya gembira kerana kesedaran masyarakat untuk kembali meneliti usul pegangan agama mereka sudah bangkit. Hadith-hadith diteliti kesahihannya, pendakwah-pendakwah yang bercakap sedap mulut semakin tersisih dari pentas ceramah. Tetapi dalam masa yang sama, saya berasa sedih dengan gejala yang menimpa kesedaran ini, dan gejala itu banyak berkait dengan SIKAP.PERANG DI KOLEJBanyak kolej yang saya hadir, pelajar yang mahu kepada Islam asyik berbalah tentang baca Yasin tu syar’ie atau tidak, tetapi mereka ‘syok sendiri’. Mereka terlupa bahawa pelajar yang Khamis malam Jumaatnya penuh dengan clubbing adalah lebih ramai dari yang mempertahankan Yasin Khamis malam Jumaat tersebut.Apabila timbul di internet, atau majalah, isu-isu yang berkaitan dengan MANHAJ, maka kita selalu menemui ulasan bahawa isu ini semakin hangat dibicarakan di kampus! Walhal yang membincangkannya hanya 20% sahaja, sedangkan yang 80% langsung tidak ambil tahu dan lebih berminat untuk bertelanjang. Maksud saya, menelanjangkan diri dari agama, kerana agama amat mengelirukan dalam sehari dua ini.Kita bincang secara terbuka isu-isu khusus yang hanya layak disertai oleh mereka yang sudah ada asas usrah, kuliah, dan tamrin. Kita sangkakan isu itu besar dan bertaraf nasional. Antaranya adalah isu UMMAH CENTRIC dan JAMAAH CENTRIC. Sedangkan 80% pembaca, pemerhati, dan mereka yang berada di sekitar kampus, tidak tahu hujung dan pangkal perbincangan.Di manakah relevannya masyarakat pelajar seperti ini diajak kepada perbincangan tentang mazhab, salaf dan khalaf, ketika mana mereka sendiri tidak pasti sejauh manakah mereka perlukan Tuhan dalam hidup ini?Sukar untuk saya mengungkaikan soalan tersebut, tetapi saya
cuba menyuluhnya dari sudut yang biasa saya gunakan iaitu isu SIKAP.
Ya, guru-guru sama ada yang bermanhaj salaf atau khalaf ramai yang ghairah mengajar fakta tetapi lupa mengajar SIKAP. Akhirnya pendirian salaf dan khalaf tercemar oleh SIKAP yang menjelekkan sama ada oleh guru mahu pun anak muridnya.Ramai yang bermati-matian mempertahankan hukum Isbal, memakai pakaian di atas buku lali dengan penuh kekasaran dan kesombongan. Mereka terlupa yang kesombongan mereka itu sama seperti golongan bangsawan Arab yang melabuhkan pakaian untuk menonjolkan kekasaran dan kesombongan yang sama. Manhaj bertukar, sikap masih sama. Manakala di satu sudut yang lain, golongan yang bertentangan pula bermati-matian mempertahankan CARA BELAJAR tetapi tidak mempedulikan HASIL BELAJAR. Kitabnya kena begini, duduknya kena begini, tradisinya kena begini, hasilnya mereka tidak peduli. Malah ada yang belajar zikir khas untuk mempertahankan diri dari Wahabi! Aduh, apakah Wahabi ini sihir dan santau? Saya mengeleng sampai terpeleng.WARGA SURAU MEMERANGAI USTAZ ‘LAN’Saya berasa simpati dengan ustaz-ustaz muda yang membimbing Mata Pelajaran LAN di kolej-kolej, khususnya kolej swasta, yang disanggah oleh anak-anak muridnya yang memandang rendah kepada ustaz berkenaan kerana solat Subuhnya berqunut. Saya tidak menokok tambah komentar saya terhadap isu ini tetapi ia adalah hasil pertemuan saya dengan ramai tenaga pengajar kolej yang memohon perkongsian idea bagi menyelesaikan masalah pelajar mereka.Ketika ustaz-ustaz ini berpenat lelah mencari formula menjinakkan anak murid mereka yang jauh dari agama, mereka terpaksa pula bertempur dengan warga surau yang sangat keras mempertahankan kaedah-kaedah solat yang baru mereka pelajari. Mereka sekali lagi terlupa bahawa 80% pelajar memilih untuk bertelanjang. Menelanjangkan diri mereka dari agama, kerana agama dalam sehari dua ini amat mengelirukan. Siapakah yang mengelirukan 80% pelajar ini? Tidak lain dan tidak bukan, kita sendiri. Orang yang belajar agama tetapi tidak belajar cara beragama. Suatu ketika, saya amat skeptik dengan istilah ‘BELAJAR KENA BERGURU’sebab pada masa itu, pelajar yang belajar di universiti disanggah oleh pejuang aliran tradisional bahawa kononnya mereka ini banyak baca sendiri dan tidak berguru. Tetapi saya mahu meminjam kembali istilah berkenaan untuk ditujukan kepada anak-anak muda di kolej dan universiti hari ini yang gurunya adalah buku, internet, majalah dan vcd. Belajar biarlah berguru! Buku mengajar kita ilmu, tetapi buku tidak mengajar kita cara membawa ilmu. Kita berilmu, tetapi horizon kita di dalam membudayakan ilmu itu ke persekitaran, amat sempit.TEMPIAS AKHLAK GURUSaya masih ingat, semasa Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, seorang tokoh tafsir, ditanya oleh anak muridnya tentang satu masalah di dalam Hadith, beliau menerangkannya dengan panjang lebar, tetapi kemudiannya mencadangkan agar soalan itu diajukan kepada rakannya, Sheikh Hammam Saeed yang lebih pakar tentang Hadith. Apabila soalan tentang Tafsir ditanya kepada Sheikh Hammam Saeed oleh anak muridnya, beliau menjawab dengan jawapan yang seluas-luasnya tetapi kemudiannya mencadangkan kepada anak muridnya supaya bertanya kepada Sheikh Solah al-Khalidi yang lebih pakar di dalam Tafsir. Ya, sikap saling hormat menghormati sesama Tuan Guru ini tersimbah kepada saya yang menumpang belajar sedikit sebanyak. Sheikh Solah juga pernah menegur golongan yang berkeras untuk membanteras ‘solat Qabliah Jumaat’.Antara yang saya masih ingat, beliau bertanya, apakah pada hari Jumaat kita digalakkan membanyakkan solat Sunat? Jika ya, maka ketika ‘orang lain’ itu bersolat Qabliah Jumaat, dirikan sahaja solat Sunat secara mutlak, demi dakwah. Tidak perlu menonjolkan ‘kelainan kita’ jika hanya mengundang kemudaratan kepada dakwah.Semasa saya bertugas di Belfast, jemaah di masjid saya berbalah tentang penyelesaian solat Isyak di musim panas. Pada musim panas, kami menghadapi masalah kerana Isyak yang masuk terlalu lewat, sekitar jam 11:50 malam, manakala solat Fajar pula masuk jam 2:15 pagi. Dalam masa yang sama ada pula beberapa ketika solat Isyak langsung tidak wujud kerana kemerahan cahaya matahari tidak hilang sampai pagi. Saya mengikut fatwa Majlis Fatwa Eropah yang dipimpin oleh Sheikh Yusof al-Qaradawi agar masjid menjamakkan Solat Maghrib dan Isyak. Tetapi ada sekumpulan jemaah di masjid yang menentangnya. Ketika itu saya berpeluang untuk ke Jordan dan saya mengambil kesempatan untuk mengajukan soalan ini kepada beberapa orang pakar rujuk Fiqh di University of Jordan. Jawapan mereka sungguh mengagumkan saya.Mereka berkata bahawa setelah Sheikh Yusof al-Qaradawi memberikan fatwa tentang hal ini, maka mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk memberikan pandangan. Apatah lagi Sheikh Yusof al-Qaradawi berada di Eropah dan mengetahui suasana sebenar di sana. Mereka mengingatkan saya supaya menasihati ahli jemaah di masjid saya agar menghormati fatwa Sheikh Yusof al-Qaradawi dan memelihara kesatuan umat Islam di sana.Ya, akhlak ini tidak mungkin tersentuh dan terserap ke jiwa saya jika saya membina manhaj hanya dengan membaca buku, majalah dan vcd. Keberkatan terhadap proses menuntut ilmu, tersimbah pada yang hadir di majlis ilmu, maka kalau mahu menjadi mukmin profesional, protaz, uspro, ustat (ustaz photostat), tazpro atau apa sahaja, maka biarlah melalui susur proses yang sejahtera.Dan guru-guru pula jangan sibuk melambakkan fakta semata-mata. Sebaliknya didiklah dan bentuklah sikap anak murid agar bijak ‘membawa agama’. Ketika mengajar, pandaikan orang, jangan hanya tunjuk pandai depan orang.Jangan lupa, 80% remaja kita mengambil keputusan untuk bertelanjang. Mereka menelanjangkan diri dari agama, kerana agama dalam sehari dua ini sungguh mengelirukan.Moga Allah mengurniakan tsabat kepada kita di jalan Ghurabaa!   


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: